Saturday, May 16, 2009

Selamat Hari Guru

Selamat Hari Guru saya ucapkan kepada semua warga pendidik di seluruh dunia khususnya di Malaysia. Cabaran kepada warga pendidik dewasa ini amat mencabar. Guru-guru di negara ini telah diberikan tanggungjawab yang begitu besar. Kalau murid tidak pandai, dikatakan guru tak pandai ajar. Setelah lebih 50 tahun merdeka, murid-murid masih tidak menguasai bahasa Malaysia. Malah, ada yang tidak dapat bertutur dengan baik. Bukan saja murid India, Cina yang tidak fasih berbahasa Melayu, malah ada murid-murid Melayu sendiri amat lemah penguasaannya! Tambah-tambah lagi sekarang, Matematik dan Sains diajarkan dalam Bahasa Inggeris. Ditambah lagi dengan bahasa SMS dan bahasa siber. Aduhai....

Bukanlah saya hendak mengeluh pada hari guru ini, tapi inilah cabaran yang harus dihadapi. Ditambah lagi dengan cabaran globalisasi. Lihatlah akhlak anak-anak muda kita. Kalau kita pergi ke pusat beli-belah terkemuka di ibu kota, perhatikanlah gelagat anak-anak muda kita. Tanpa segan silu mereka berpeluk-pelukan dan bercium-ciuman seperti yang kita lihat di kaca-kaca tv. Itu di tempat terbuka dan di siang-siang hari. Entahlah apa yang berlaku pada waktu lain di tempat lain. Belum lagi saya sebutkan tingkah laku songsang di luar batas norma masyarakat kita. Apakah sebenarnya yang kita mahukan terhadap generasi masa hadapan kita?

Kita mengajarkan subjek kita di sekolah agar mereka mendapat A dalam peperiksaan. Kita mendidik pelajar-pelajar kita untuk menjadi pelajar holistik. Tapi masih banyak lagi pelajar yang kecundang. Kita masih melahirkan penjenayah-penjenayah. Kita melahirkan anak-anak yang derhaka kepada kedua-dua ibubapa, kita melahirkan anak-anak bangsa yang tidak berjiwa Malaysia..... Gagalkah kita melaksanakan tugas kita sebagai guru?

Kita menerima cabaran daripada pelbagai penjuru arah! Mendidik anak itu sudah menjadi suatu cabaran, melayan kerenah ibu bapa aduhai... cuit sikit anak mereka kita disaman di mahkamah, cabaran persekitaran, cabaran globalisasi, cabaran kehidupan yang mencekik dan macam-macam cabaran lagi. Tapi kita masih tetap di sini. Masih mengharungi cabaran-cabaran itu dengan hati yang terbuka kerana apabila melihat wajah anak-anak didik kita yang mengharap mahupun yang masih kabur, hati ini menjadi cair dan semangat mula membara....

Selamat Hari Guru saya ucapkan dengan khusus kepada guru-guru saya yang telah mengajar saya selama ini terutama kepada Cikgu Maznah, guru pertama yang saya kenali semasa darjah 1 di Sekolah Kebangsaan Sg Sireh, Tanjung Karang; Cikgu Raja Aman cikgu yang saya sifatkan garang semasa saya darjah 4 di Sekolah Kebangsaan Tanjung Karang, tak lupa juga Cikgu Othman, Cikgu Ibrahim Saad yang mengajar saya Bahasa Inggeris dan banyak lagi yang mengajar saya di sekolah rendah. Terima kasih cikgu. Mungkin ada antara mereka yang sudah meninggal dunia, namun jasamu dikenang sepanjang hayat.

Saya juga hendak mengucapkan Selamat Hari Guru dan terima kasih saya kepada guru-guru di Sekolah Convent Bukit Nanas dari tahun 1974-1981. Saya tak dapat lupakan Cikgu Mishah, Cikgu Ku Sham, Miss Arumugam, Mrs Ling dan ramai lagi. Aduhai, nostalgia! Teringat CBN di tengah-tengah kesibukan kota. Harap-harap CBN tidak terkorban oleh pembangunan pesat Kuala Lumpur!

Dan yang paling istimewa, terima kasih emak dan ayah yang tak jemu-jemu menjadi guru kapada diri ini dari kecil sampai dah tua-tua begini. Selamat Hari Ibu dan Selamat Hari Bapa.

4 comments:

CS said...

Selamat hari guru Cikguliz .. you are one of the CHOSEN ONES .. Tahniah!

Lezah Zaini said...

hehe thank u. CS apa khabar? happy belated mothers day... :))

CS said...

Kita sihat sejahtera cumanya kadang2 angin barat daya laut cina selatan menyerang..

Lezah Zaini said...

err... wa sudah confuse arah angin!! Asal bukan angin puting beliung sudahlah.