Tuesday, December 21, 2010

Novel Interlok ditarik balik?

Gambar dipetik dari:-
http://abihulwa.blogspot.com/2010/12/kuala-lumpur-buku-teks-subjek-sastera.html

ISU NOVEL INTERLOK

Penarikan "Interlok" Dibincang Bersama Kementerian Pelajaran, DBP - Murugiah
KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Penarikan buku teks sastera tingkatan lima bertajuk "Interlok" yang didakwa mengandungi unsur sensitif serta boleh menyinggung perasaan kaum Melayu dan India, dibuat selepas perbincangan dengan pihak berkaitan, termasuk Kementerian Pelajaran dan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah berkata Biro Pengaduan Awam (BPA) menerima banyak aduan mengenai beberapa perkataan sensitif dalam buku itu, dan selaku Pengerusi BPA, beliau berpendapat tindakan segera perlu diambil.

"Saya sebagai Timbalan Menteri, memanggil Kementerian Pelajaran, Dewan Bahasa dan Pustaka, serta semua yang berkaitan hadir dan berbincang, dan kami telah membuat keputusan secara musyawarah.

"Saya tidak boleh memberi sebarang keputusan, cuma saya boleh mencadangkan tindakan yang boleh diambil, dan tanggungjawab untuk mengambil tindakan itu adalah Kementerian Pelajaran," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen pada Isnin ketika mengulas surat pembaca yang tersiar di sebuah akhbar berhubung pengumumannya mengenai penarikan buku itu pada 15 Dis lalu.

Pembaca yang dikenali sebagai M. Hanafiah A. Samad dari Muar, Johor itu menyifatkan tindakan Murugiah sebagai melatah dan berpendapat pengumuman tersebut sepatutnya dilakukan Kementerian Pelajaran.

Murugiah berkata isu penarikan buku tersebut telah disalah tafsir dan berharap ia tidak terus diperbesarkan kerana bimbang mencetuskan masalah.

"Orang salah tafsir benda ini, sebab itu saya mahu jelaskan. Dia bagitau dalam ini (surat pembaca), beliau menulis berdasarkan kajian sejarah dan pengalamannya, saya faham, tapi ini bukan buku sejarah, ini buku sastera.

"Apabila buku sastera, dia boleh tukar bahasa-bahasa tertentu, atas dasar itu kita mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran dan terpulang kepada mereka, kalau mahu kekalkanpun, boleh kekal, tapi mereka ambil cadangan BPA (untuk tarik balik)," katanya.

Buku "Interlok" karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain yang memaparkan tema mengenai integrasi tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India seawal tahun 1900-an hingga merdeka, telah dipilih sebagai teks Komponen Sastera Dalam Pengajaran Bahasa Melayu untuk Tingkatan Lima, sebelum ditarik balik pada 15 Dis lalu.

Ia didakwa mempunyai unsur penghinaan terhadap kaum Melayu berdasarkan perkataan yang ditulis di beberapa halaman, seperti orang Melayu bodoh, malas selain perkataan paria serta menyentuh isu ketuhanan dan keagamaan kaum India.

-- BERNAMA



Banyak maklumat lagi http://galusbm.blogspot.com/

1 comment:

Ismiey Iz said...

Asslamualaikum ..
cikgu, sy bakal guru.. nk tya 1 soaln .. apa yg cikgu bm perlu kat sk. .. sebab sy memang x tau situasi sebenar yg perlu dihadapi .. .. hehehe tQ ..