Friday, April 8, 2011

Pertunangan Mengikut Syariat Islam

PERTUNANGAN MENGIKUT SYARIAT ISLAM

(Source: www.yadim.com.my)

Sebelum seseorang lelaki ingin menghantar pinangan, utuskanlah wakil
untuk meninjau latar belakang peribadi wanita pilihannya itu. Begitu
juga sebaliknya bagi pihak keluarga wanita dalam membuat keputusan
untuk menerima bakal menantunya.

Hendaklah diselidiki dahulu diri lelaki yang hendak meminang itu
tentang agamanya, fahamannya dan soal-soal hubungan dengan Allah
sebagai pokok utama.

Pertama; adakah fardu ain si lelaki ´benar-benar beres´ kerana
suamilah tunjang yang bakal untuk mengajar anak-anak dan isteri
apabila telah mendirikan rumahtangga kelak. Memerhatikan pelaksanaan
ibadah lelaki yang meminang itu seperti sembahyang secara individu
dan secara berjemaah, juga mengenal pasti pekerjaan lelaki berkenaan.

Orang sekarang tidak lagi memandang soal-soal hubungan dengan Allah
sebagai pokok utama sejahteranya sesebuah rumah tangga. Setiap kali
berlangsungnya majlis merisik, perkara utama yang akan ditanya ialah
hal-hal kemewahan keduniaan saja sebagai syarat yang akan
mensejahterakan dan mengukuhkan rumah tangga.

Tidak hairanlah apabila selepas berkahwin, kehidupan anak-anak dan
isteri terbiar tanpa bimbingan dan tunjuk ajar yang sewajarnya.
Akhirnya, anak-anak tidak taat kepada ibu bapa dan isteri menjadi
´Queen Control´ kepada suami. Akhirnya, suami hilang hemahnya di
dalam mentadbir rumah tangga menurut hukum Islam.

Ibu bapa tidak boleh menolak pinangan seseorang lelaki itu semata-
mata kerana darjat yang rendah. Sebaliknya, mestilah menolak pinangan
seseorang lelaki itu apabila diketahui bahawa lelaki berkenaan
berakhlak buruk seperti tidak sembahyang atau suka berfoya-foya,
berjudi sekalipun dia berpangkat dan mempunyai harta.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya:

"Sesiapa yang mengahwinkan akan perempuannya dengan lelaki yang
fasik maka sebenarnya dia telah memutuskan silaturrahim dengan
anaknya."

Rasulullah s.a.w bersabda lagi yang bermaksud:

"Jika datang kepada kamu pinangan daripada seseorang lelaki yang
kamu reda terhadapnya, agama dan akhlaknya, hendaklah kamu terima.
Kalau kamu menolaknya, padahnya adalah fitnah dan kerosakan di muka
bumi."

Setelah membuat perbincangan, wali wanita ada hak menentukan sama
ada mahu menerimanya ataupun tidak, cuma secara beradabnya eloklah
ditanya kepada empunya diri terlebih dahulu.

Mana-mana wanita yang tidak pandai membuat keputusan, eloklah
memberi keputusan kepada walinya dalam membuat keputusan sebab
pilihan walinya tentu tepat kerana seseorang bapa tidak akan sanggup
menzalimi anaknya. Wali yang baik akan memilih lelaki yang beragama
dan berakhlak mulia.

Bagaimanapun, jika si anak itu mempunyai pilihan sendiri yang agak
lebih baik agamanya daripada pilihan bapanya itu, bapa hendaklah
menghormati hasrat anaknya itu.

Untuk mendapat keberkatan Allah, dari awal majlis peminangan lagi
kita mesti menjaga adab. Keberkatan Allah ini tidak dapat hendak kita
gambarkan kerana hatilah yang akan terasa ketenangan itu. Kesannya
bukan seminggu dua, namun sampai ke hari tua.

Contohnya, orang pada zaman ´salafusaleh´, rumah tangga mereka
berkat kerana dari awal peminangan lagi majlisnya sudah dijaga.

Namun, kalau dalam majlis peminangan itu, awal-awal lagi kita tidak
dapat menjaga syariat dan adab menurut Islam, sampai akhir hayat pun
mungkin rumah tangga itu nampak ´tidak cantik´, tidak bahagia. Ada
saja kusut masainya. Hati pun kadang-kadang tidak tenang untuk
tinggal di rumah dan inilah yang banyak berlaku pada hari ini.

Sebab itulah amat penting dijaga suasana majlis ini. Biarlah
bersusah-susah sedikit asalkan syariat Allah dapat kita jaga dengan
baik.

Seperkara lagi, jangan dibebani rombongan peminangan dengan berbagai-
bagai hantaran yang mahal-mahal. Contohnya, pakaian, makanan, buah-
buahan, alat solek, beg tangan, kasut, cincin bertunang, cincin nikah
dan cincin hadiah. Memadai dengan sebentuk cincin saja.

Malah Islam tidak pernah menyusahkan penganutnya dengan cara
demikian. Apabila hantaran terlalu tinggi, hilang keberkatan rumah
tangga.

Harus diingat, yang paling layak dalam menentukan mas kahwin, juga
wang hantaran ini ialah diri wanita itu sendiri, kerana mas kahwin
itu memang haknya. Walau bagaimanapun, sekarang ini semua negeri
sudah menetapkan berapa mas kahwin untuk wanita tersebut apabila
berkahwin, boleh kita terima, tetapi sekiranya wanita tersebut hendak
menetapkan berapa mas kahwinnya, kita perlu hormati.

Begitulah kehendak syariat. Sebab itulah dalam soal ini, Rasulullah
s.a.w memaklumkan kepada umat Islam bahawa mas kahwin yang paling
baik ialah yang terendah. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

"Bermula yang terbaik perempuan itu iaitu yang terlebih murah mas
kahwinnya."

Sabda Rasulullah s.a.w lagi yang bermaksud:

"Sebesar-besar berkat pernikahan ialah yang paling sedikit mas
kahwinnya."

Bersabda baginda lagi yang bermaksud:

"Setengah daripada berkat permpuan itu iaitu segera dipersuamikan
dan segera rahimnya itu kepada beranak dan murah mas kahwinnya."

Kita patut mengetahui setengah daripada mas kahwin isteri Rasulullah
s.a.w itu hanya sepuluh dirham saja; sama nilainya dengan harga batu
pengisar tepung atau sebiji tempayan atau sebiji bantal di rumah
baginda.

Sesetengah daripada para sahabat berkahwin dengan mas kahwin hanya
seberat sebiji buah kurma (lebih kurang lima dirham).

Manakala Said Ibnu Musayyab mengahwinkan anak perempuannya dengan
Abu Hurairah berbekalkan mas kahwin sebanyak dua dirham sahaja.

Saidina Umar sangat melarang jika ada wali-wali perempuan yang
menaikkan mas kahwin anak gadis mereka. Katanya:

"Tiada berkahwin Rasulullah dan tiada mengahwinkan ia anaknya yang
perempuan dengan isi kahwin yang lebih daripada empat ratus dirham."

Mas kahwin bukanlah semestinya hanya dengan wang atau emas permata,
ayat-ayat al-Quran juga boleh dijadikan mas kahwin. Contohnya, ayat
dalam surah Al-Fatihah atau Al-Ikhlas, tidak kiralah seberapa banyak
yang dikehendaki.

Bagaimanapun, apa yang dinamakan sebagai hantaran tidak wujud dalam
Islam. Hantaran itu merupakan adat yang sepatutnya sudah lama
ditinggalkan. Ini adalah kerana hantaran itu sebenarnya akan
digunakan oleh pihak keluarga wanita untuk persiapan majlis
perkahwinan.

Jika begitu halnya, hantaran tidak patutlah diminta kepada bakal
menantunya. Kecuali bakal menantu hendak memberi hantaran, boleh kita
terima, inilah cantiknya ajaran Islam dan ada hikmahnya.

Pada hari pertunangan, hendaklah ia menggalakkan tunangnya agar
memperkuatkan agamanya dan bersikap zuhud (bukan buang dunia, tetapi
hati tidak terpaut kepada dunia). Hendaklah bersama-sama berazam di
atas satu dasar hidup iaitu qanaah, memadai dengan apa yang telah ada
tanpa rasa tamak.

Setelah bertunang, janganlah mengenakan sesuatu tempuh yang agak
lama jaraknya dengan penikahan. Sebaik-baiknya dilaksanakan
pernikahan itu secepat mungkin agar terhindar dari berbagai fitnah
manusia.

Elakkan pertemuan yang sia-sia semasa dalam pertunangan. Islam tidak
memberikan kebebasan bergaul selepas meminang kerana menjaga maruah
wanita dan lelaki itu sendiri. Pertunangan yang diikat bukanlah
sebagai tiket yang membolehkan seseorang lelaki itu untuk bergaul
atau berdua-duaan dengan bakal isterinya.

Lelaki hanya diberi peluang melihat dan meneliti wanita itu dalam
ruang yang ´aman´ daripada fitnah sosial dan kerosakan maruah. Walau
bagaimanapun, pertemuan dengan tunang diharuskan sekiranya mengikut
syariat.

Lelaki hanya dibolehkan melihat pada muka dan kedua-dua pergelangan
tangannya sahaja dan tidak melihat bahagian aurat tunang.

Perbualan hanya sekadar menanya khabar, memberi maklumat, menerima
maklumat dan memberi nasihat.
Perbualan yang tidak berfaedah memadu kasih, berjanji mesra,
bercinta asmara dan sebagainya sangat dilarang atau haram hukumnya.

Pergaulan yang melibatkan tunang sama ada waktu melihat atau berbual
hendaklah bersama muhrimnya. Dilarang melihat tunang secara
bersendiri. Rasulullah s.a.w telah mengingatkan kita menerusi sabda
baginda yang bermaksud:

"Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka jangnlah
sekali-kali menyendiri dengan seorang perempuan yang tidak disertai
oleh mahramnya, sebab nanti yang jadi orang ketiganya adalah
syaitan."

Rasulullah s.a.w bersabda lagi yang bermaksud:

"Tidak boleh sekali-kali seorang lelaki menyendiri dengan perempuan
yang tidak halal baginya, kerana orang ketiganya nanti adalah
syaitan, kecuali kalau ada mahramnya.

No comments: