Banyak hari saya tidak update posting di sini. Letih. Dari hari Isnin hingga Khamis saya buat kerja tambahan. Dapatlah duit sikit, bolehlah buat jalan-jalan cuti sekolahni. Bercakap fasal cuti sekolah, yang sebenarnya saya masih belum lagi dapat bercuti dalam erti kata yang sebenarnya. Selain kerja-kerja Yearbook yang perlu disiapkan, saya juga terjebak dengan kerja-kerja pentadbiran. Asal saja kita ada di sekolah, macam-macam yang kena buat. Minggu pertama cuti, banyak temubual dilakukan dengan bakal-bakal pelajar setelah mereka menduduki peperiksaan penempatan. Ini memang menjadi tradisi sekolah; semua pelajar yang ingin memohon masuk ke sekolah ini perlulah melalui ujian dahulu diikuti satu sesi temubual. Setelah keputusan diperoleh, baharulah ibu bapa pelajar tersebut dihubungi sama ada diterima masuk atau tidak.
Selain itu, saya juga terlibat dalam penyediaan rancangan tahun depan dan jadual waktu. Hari ini kami telah berjaya menyiapkan pengagihan kelas kepada guru-guru. Lega. Masih perlu 2 orang guru lagi. Guru Mandarin dan Guru Bahasa Inggeris. Harap-harap cepatlah kami peroleh guru-guru ini. Tahun depan, insya-Allah, saya akan mengajarkan Bahasa Melayu untuk tingkatan 5 Sc1 dan 1 Cekap manakala Perdagangan saya ambil tingkatan 5. Jumlah period ialah 17 (sebagaimana yang ditetapkan) tak termasuk kelas khas 'Unit Sokongan'.
Tahun ini dan tahun depan, kami menerima pelajar-pelajar Korea yang agak banyak. Oleh itu Unit Sokongan diperlukan untuk membantu pelajar-pelajar ini agar mereka dapat menguasai Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dengan cepat dan dapat mengikuti pelajaran dengan mudah. Guru-guru senior telah terpilih dalam Unit Sokongan ini. Antaranya ialah HAT, SMAB, KCL, RA, HRK, NLZ tentunya dan seorang guru baru yang ada pengalaman dengan orang Korea. Harap-harap Unit Sokongan ini akan berjalan dengan lancar dan berkesan.
Minggu depan ada kursus untuk guru-guru dari hari Isnin hingga hari Khamis. Hari Khamis itu khusus untuk kursus IT. Antara sukatannya ialah Blogging. Saya diminta untuk menjadi salah seorang fasilitator. Saya nak minta izinlah nak gunakan blog guru-guru BM seperti Blog Cikgu Ghalib dan Blog Cikgu Razak sebagai contoh. Harap-harap selepas itu, banyaklah guru di sekolah saya menjadikan blog sebagai wadah untuk mengembangkan ilmu kepada murid-murid mengikut kepakaran dan minat masing-masing.
No comments:
Post a Comment