Serius Sikit ni....
Pemahaman Komsas - 26 markah [35 - 9 daripada Pemahaman Umum]
Walaupun markahnya 26 sahaja dengan 8 -9 soalan daripada 3 bahagian, namun kalau anda peka dan tahu teknik untuk mendapatkan markah atau menjaga markah supaya tidak diambil @dipotong @didenda oleh pemeriksa, senang-senang sahaja anda akan mendapat markah penuh. Tak percaya? Ikut nasihat ini:
- Baca soalan dan jawab berdasarkan kehendak soalan. [mungkin anda akan kata, memanglah... tapi ketahuilah murid-murid sekalian, banyak pelajar yang tersilap kerana tidak menjawab soalan yang ditanyakan.]
- Jangan pula tak jawab soalan dan dibiarkan kosong. Sah 0 markah; dapat juga markah kan? Tapi kosonglah.
- Apabila menjawab soalan, pastikan anda menjawab soalan itu dengan lengkap. Tatabahasa mesti betul. Ejaan dan tanda baca mesti betul. Jangan nak cepat, tulis tu main tarik saja, sampai n jadi u dan sebagainya. Jangan pula buat ejaan seperti yang biasa dalam dunia siber atau sms. Nahas tu! [Nampak remeh kan? Tapi perkara ini semua sangat penting. Kadang-kadang kerana kelalaian kita, percuma saja kita buang markah yang amat berharga]
- Soalan 1 biasanya akan bertanya tentang makna kata atau frasa atau maksud perenggan. Bagi makna kata atau frasa, berikan kata sinonim yang lain. Bagi puisi moden atau tradisional - apabila anda menjawab, sila gunakan bahasa prosa moden. Gunakan ayat anda sendiri. Jangan cedok bulat-bulat ayat pantun, seloka atau sajak itu. Berikan maksud mengikut pemahaman anda (sebagaimana yang anda telah pelajari). Begitu juga dengan prosa tradisional. Guna ayat sediri iaitu bahasa moden. (jangan pula guna bahasa sms - parah)
- Soalan kedua biasanya soalan kbkk. Jawaban bagi soalan ini hendaklah daripada calon sendiri @ pendapat calon. Sekiranya calon menuliskan isi-isi atau perkara-perkara yang yang ada dalam petikan, markah 0 akan diberikan. [tak jawab soalan- anda didenda]. Namun demikian, jawaban bagi soalan ini hendaklah berkaitan dengan topik, jangan suka-suka hati nak beri pendapat sendiri tetapi tak ada kaitan.
- Sekiranya soalan yang ditanyakan itu wajar atau tidak, anda harus bijak. Walaupun anda boleh memilih sama ada wajar atau tidak, tetapi anda haruslah bijak memilih yang mana lebih baik, yang sepatutnya, dan yang mudah untuk ditanda oleh pemeriksa atau yang pemeriksa selesa. (ini pendapat saya sahaja)
- Pastikan anda memberikan pendapat yang dihuraikan. Kalau boleh berikan beberapa pendapat. Tulis lebih tak apa asal tatabahasa terpelihara. Saya selalu bercakap kepada pelajar-pelajar saya bahawa kalau seseorang itu mahu mandapat A dalam BM, dia hendaklah rajin menulis, menulis dan menulis. Jangan lupa, serlahkan kematangan anda dalam huraian pendapat anda itu.
- Soalan ketiga biasanya berkaitan dengan unsur komsas. Dalam prosa tradisional, jarang ada soalan aspek komsas. Tahun ini tak tahulah.
- Aspek Komsas yang biasa ditanyakan ialah tema, persoalan, watak dan perwatakan, gaya bahasa, latar, nilai dan sebagainya sebagaimana yang anda telah pelajari. Kadang-kadang ada soalan begini:
- Jelaskan 2 nilai berdasarkan petikan dan dua nilai berdasarkan keseluruhan cerpen. Bagaimana nak jawab? Dua nilai daripada petikan ialah nilai kasih sayang dan tabah. Mama Zel amat menyayagi Zel dan memberikan hadiah sebuah komputer bersempena hari lahirnya. Mama Zel tabah menghadapi pelbagai dugaan hidup sebagai ibu tunggal yang perlu mencari sara hidup sendiri manakala dua nilai daripada keseluruhan cerpen pula ialah nilai tekun dan nilai yakin diri. (kemudian berikan contoh kedua-dua nilai tersebut).
- Nampak macam panjang kan? Tapi tak apa, lebih baik bagi lebih daripada beri kurang. Objektif kita ialah untuk mendapatkan markah yang diperuntukkan itu.
- Jangan keliru antara nilai dan persolan kerana kadang-kadang ada nilai yang juga merupakan persoalan. yang pentingnya bagaimana anda menuliskan nilai itu sebagai persoalan. Contoh: kasih sayang ialah nilai, bagaimanakah kasih sayang menjadi persoalan? Salah satu caranya ialah dengan meletakkan perkataan persoalan di hadapan kasih sayang >>> persoalan kasih sayang atau tambahkan perkataan lain contoh antara keluarga. Persoalan kasih sayang antara ibu dan anak dsb. Yang pentingnya, apabila anda menjawab soalan persoalan, jangan sesekali samakan persoalan dengan nilai kerana pemeriksa akan keliru untuk memberikan anda markah. Jangan kelirukan pemeriksa.
- Apa lagi ya? Oh ya, jangan seronok sangat menulis hingga anda mengabaikan masa. Rancang masa anda dengan baik dan jawab semua soalan. Saya doakan anda semua akan berjaya dengan cemerlang dalam SPM khususnya dalam BM. Malam ini tidurlah dengan lena selepas berdoa semoga kerja keras anda selama ini akan membuahkan hasil yang cemerlang. Esok, bangun dengan segar dan penuh semangat dan berjuang habis-habisan untuk mendapatkan hak anda.
- Last but not least, happy birthday J9, semoga esok anda akan mendapat hadiah terbaik sempena hari jadi anda pada 11/11. ;)
1 comment:
thankee! =D
J9
Post a Comment